Tuesday, May 26, 2009

KAEDAH PENYEDIAAN PERLEMBAGAAN SESEBUAH PERTUBUHAN BELIA

Perlembagaan atau Kaedah-Kaedah bagi sesebuah pertubuhan belia merupakan dokumen bertulis yang sangat penting dan asas kewujudan sesebuah pertubuhan belia. Ianya juga merupakan sumber rujukan asas bagi pengurusan, pergerakan dan hala tuju sesebuah pertubuhan belia.

Setiap pemimpin dan ahli pertubuhan belia sewajarnya memahami perlembagaan pertubuhan belia masing-masing khususnya dari segi hak, tanggungjawab dan peranan mereka selaku anggota organisasi.

Dalam konteks berpersatuan di negara ini, sesebuah pertubuhan belia itu dikehendaki oleh undang-undang supaya didaftarkan. Sesebuah organisasi belia yang tidak berdaftar boleh dianggap sebagai organisasi yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Apabila mendaftarkan sesebuah pertubuhan belia di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, perlembagaan sesebuah pertubuhan belia menjadi rujukan utama dalam membuat samada pendaftaran boleh diluluskan atau sebaliknya.

Oleh yang demikian, setiap pertubuhan belia terutamanya yang baru ditubuhkan hendaklah mengetahui serta memahami perkara-perkara yang perlu ada dan dimuatkan dalam perlembagaan masing-masing sepertimana berikut :
  • Nama dan alamat tempat urusan atau alamat pos pertubuhan belia;
  • Butir-butir yang tepat mengenai sifat reka bentuk dan warna apa-apa bendera, lambang, lencana dan lain-lain tanda kebesaran yang digunakan oleh pertubuhan belia;
  • Tujuan atau objektif penubuhan pertubuhan belia tersebut;
  • Kriteria atau syarat kelayakan keahlian pertubuhan belia tersebut meliputi bilangan, had umur, jantina, agama, bangsa, tempat tinggal, suku bangsa dan sebagainya;
  • Kaedah penerimaan keahlian pertubuhan belia tersebut misalnya menerusi Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan sebagainya;
  • Penubuhan dan kaedah pelantikan Jawatankuasa atau Badan Pengelola, jawatan, kuasa dan fungsi pemegang jawatan bagi pertubuhan belia tersebut;
  • Sumber kewangan pertubuhan belia tersebut, kadar dan kaedah pembayaran yuran dan bayaran lain yang boleh dikenakan ke atas ahli;
  • Kuasa yang meluluskan perbelanjaan dengan menggunakan wang atau tabung pertubuhan belia tersebut;
  • Penyimpanan Akaun Pendapatan dan Perbelanjaan pertubuhan belia serta penyiaran Akaun tersebut kepada ahli-ahli pada setiap tahun;
  • Pelantikan Juruaudit;
  • Kuorum Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan sebagainya;
    Cara bagaimana perlembagaan pertubuhan belia tersebut dipinda;
  • Jika perlembagaan sesebuah pertubuhan belia tersebut memperuntukkan tentang penubuhan cawangannya, hendaklah dinyatakan kaedah meluluskan penubuhan cawangan tersebut oleh badan induknya.
  • Perkara-perkara yang dinyatakan di atas merupakan maklumat asas yang perlu dinyatakan dalam perlembagaan sesebuah pertubuhan belia. Sesuatu perlembagaan yang lebih komprehensif boleh dihasilkan bergantung kepada latar belakang serta keperluan pertubuhan belia masing-masing dengan memuatkan perkara-perkara lain yang wajar ke dalam perlembagaan tersebut.
  • Perlembagaan yang terlalu komprehensif tidak semestinya berkesan jika ianya tidak praktikal atau tidak boleh digunapakai. Oleh yang demikian, perlembagaan yang digubal seharusnya lengkap, jelas, praktikal dan boleh diikuti oleh semua anggota pertubuhan belia.
  • Contoh perlembagaan bagi pertubuhan belia boleh diperolehi melalui portal kami http://roy.kbs.gov.my/.

1 comment:

  1. Terima kasih kerana kewujudan blog ini dapat memberi informasi.
    Walaubagaimanapun,"link broken" atau apa-apa saja yang menghalang dari capaian informasi berkenaan hanya memberi kekecewaan.

    Sekian terima kasih

    ReplyDelete