Tuesday, May 26, 2009

KAEDAH PENYEDIAAN PENYATA TAHUNAN BAGI PERTUBUHAN BELIA

Apa itu Penyata Tahunan

Penyata Tahunan bagi sesebuah pertubuhan belia yang berdaftar merupakan suatu dokumen yang dikehendaki oleh undang-undang untuk dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia selaras dengan seksyen 22, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Hampir kesemua pertubuhan belia berdaftar ada memperuntukkan dalam perlembagaan atau undang-undang tubuh masing-masing mengenainya serta tempoh untuk mengemukakan Penyata Tahunan tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan Belia. Secara umumnya, Penyata Tahunan merupakan satu bentuk laporan tahunan mengenai latar belakang pertubuhan belia, pemegang jawatan, kedudukan kewangan, aktiviti-aktiviti dan sebagainya.

Kandungan Penyata Tahunan

Penyata Tahunan yang perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia di bawah seksyen 22, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut :
  • Latar belakang pertubuhan belia iaitu nama pertubuhan belia, alamat tempat urusan berdaftar, bilangan anggota/ahli dan senarai daftar anggota/ahli yang mengandungi nama, nombor kad pengenalan, tarikh dan tempat lahir, pekerjaan, alamat kediaman, nombor telefon serta alamat e-mel;
  • Maklumat mengenai pemegang jawatan yang menunjukkan jawatan, nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh dan tempat lahir, pekerjaan, alamat kediaman, alamat majikan, nombor telefon, nombor faks dan alamat e-mel;
  • Minit Mesyuarat Agung Tahunan bagi tahun yang berkenaan;
  • Penyata Penerimaan dan Pembayaran serta Kunci Kira-Kira bagi tahun berkenaan;
  • Keterangan mengenai apa-apa harta, faedah atau keuntungan kewangan yang diterima daripada mana-mana sumber di luar Malaysia (jika ada);
  • Sebarang pindaan kepada perlembagaan atau undang-undang tubuh pertubuhan belia semenjak Penyata Tahunan yang terakhir (jika ada);
  • keterangan mengenai geran atau surat milik harta tak alih, syer, debentur, amanah saham atau pelaburan lain yang dipunyai oleh pertubuhan belia (jika ada);
  • senarai nama dan alamat mana-mana pertubuhan, persatuan atau mana-mana kumpulan yang diperbadankan atau tidak diperbadankan di luar Malaysia yang dengannya pertubuhan belia ini bersekutu atau bergabung (jika ada);
  • Penyata Tahunan hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan Borang PPB 09 yang boleh dimuat turun melalui portal http://roy.kbs.gov.my.


Bila Perlu Mengemukakan Penyata Tahunan

  • Mengikut seksyen 22 tersebut, maklumat yang kena diberi dalam bentuk Penyata Tahunan ini hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 60 hari selepas mengadakan mesyuarat agung tahunannya atau sekiranya tiada mesyuarat agung tahunan diadakan, dalam tempoh 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar.

Siapa Perlu Menyediakan Penyata Tahunan

  • Sebahagian besar pertubuhan belia memperuntukkan dalam perlembagaan masing-masing mengenai siapa yang bertanggungjawab atas perkara ini yang selalunya merujuk kepada Setiausaha sesebuah pertubuhan belia. Namun demikian menurut seksyen 24 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, tiap-tiap pemegang jawatan dan orang yang mengurus atau membantu dalam pengurusan sesebuah pertubuhan belia sebenarnya bertanggungjawab dalam penyediaan Penyata Tahunan.

Kesan Akibat Kegagalan Mengemukakan Penyata Tahunan

  • Kegagalan mana-mana pertubuhan belia untuk mengemukakan Penyata Tahunan kepada Pendaftar seperti yang dikehendaki, adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.00. Mana-mana pertubuhan belia yang mengemukakan Penyata Tahunan yang mengandungi maklumat palsu, tidak betul atau tidak lengkap, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00. Perkara ini dinyatakan di bawah subseksyen 24(3) dan 24(4) akta yang sama. Kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan juga boleh mengakibatkan pertubuhan belia tersebut menerima perintah sementara bagi pembubaran yang akhirnya akan menyebabkan pendaftarannya dibatalkan di bawah subseksyen 23(6).

No comments:

Post a Comment