Tuesday, May 26, 2009

IMPLIKASI PERUNDANGAN AKIBAT KEGAGALAN MENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA DI BAWAH AKTA 668

Pengenalan

Setiap pertubuhan belia di negara ini dikehendaki berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan sebaik sahaja Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) diperkenalkan dan mula berkuatkuasa pada 31 Disember 2007. Ini bermakna setiap pertubuhan belia samada yang sedang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) atau mana-mana pertubuhan belia yang baru ditubuhkan adalah dikehendaki supaya berdaftar di bawah akta tersebut. Perkara ini dijelaskan dalam subseksyen 7(1) dan 7(3) akta tersebut.


Status Pertubuhan Belia

Seringkali timbul persoalan mengenai status sesebuah pertubuhan belia yang sedang berdaftar dengan ROS yang dikehendaki pula untuk didaftar semula di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Subseksyen 7(3) menetapkan supaya tiap-tiap pertubuhan belia tersebut memohon untuk didaftar di bawah akta ini dalam tempoh 12 bulan dari tarikh 31 Disember 2007 iaitu tarikh mula berkuatkuasanya akta tersebut. Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan boleh membenarkan tempoh lain sekiranya perlu berbuat demikian. Subseksyen 7(4) memperjelaskan status sesebuah pertubuhan belia di atas yang telah memohon untuk didaftar di bawah Akta 668 adalah masih sah berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan masih terikat dengannya sehingga Pendaftar Pertubuhan Belia meluluskan pendaftaran pertubuhan belia tersebut.

Namun demikian, mana-mana pertubuhan belia yang baru adalah dibolehkan mendaftar pertubuhan belia masing-masing di bawah Akta 668 pada bila-bila masa sebaik sahaja ianya ditubuhkan sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 7(1).

Kegagalan Mendaftar Pertubuhan Belia

Dalam tempoh peralihan pendaftaran ini, banyak pertubuhan belia telah menyuarakan kesukaran yang dihadapi berpunca daripada kekeliruan masing-masing. Antara kekeliruan yang dialami termasuklah :

  • Tidak memohon pendaftaran selagi belum mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan;
  • Tidak memohon pendaftaran sehingga semua badan gabungannya berdaftar terlebih dahulu;
  • Tidak memohon pendaftaran selagi pemegang jawatan sediada (melebihi umur 40 tahun) masih belum berundur;
  • Hanya mendaftarkan badan induk dengan anggapan kesemua cawangannya turut didaftar secara automatik dan lain-lain lagi

Akibat daripada kekeliruan tersebut, pertubuhan belia terbabit gagal untuk mengemukakan borang permohonan pendaftaran (Borang PPB 01) dalam tempoh yang ditetapkan. Apakah implikasi perundangan ke atas pertubuhan belia tersebut ?

Pertubuhan Belia Yang Menyalahi Undang-Undang

  • Menurut subseksyen 80(1), salah satu kategori pertubuhan belia yang menyalahi undang-undang ialah “suatu pertubuhan belia atau cawangannya yang tidak didaftarkan di bawah seksyen 9”. Antara pertubuhan belia yang dikehendaki berdaftar mengikut seksyen 9 tersebut termasuklah pertubuhan belia yang baru dan pertubuhan belia yang sedang berdaftar dengan ROS.
  • Dilihat dari sudut perundangan, sesebuah pertubuhan belia yang gagal untuk berdaftar di bawah Akta 668 walau dengan alasan apa sekalipun adalah pertubuhan belia yang menyalahi undang-undang. Terdapat banyak implikasi lain ke atas sesebuah pertubuhan belia yang menyalahi undang-undang. Antara kesalahan-kesalahan dan penalti yang dikaitkan dengan pertubuhan belia yang menyalahi undang-undang termasuklah
  • Kesalahan kerana mengurus atau membantu dalam pengurusannya – Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Seksyen 81)
  • Kesalahan menghadiri mesyuarat, membayar wang atau memberi bantuan – Denda tidak melebihi RM3,000.00 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya;
    (Seksyen 82)
  • Kesalahan membenarkan penggunaan premis untuk mesyuarat – Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Seksyen 83)
  • Kesalahan menghasut, mendorong atau mengajak orang lain supaya menjadi anggota atau membantu dalam pengurusan – Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Subseksyen 84(1))
  • Kesalahan menggunakan kekerasan, ugutan atau intimidasi supaya menjadi anggota atau membantu dalam pengurusan – Denda tidak melebihi RM10.000.00 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Subseksyen 84(2))
  • Kesalahan mengutip yuran atau bantuan – Denda tidak melebihi RM10,000.00 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Seksyen 85)
  • Kesalahan mencetak, mengedar, menyiar, mempamer bahan atau dokumen bagi tujuan publisiti – Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Subseksyen 86(1))
  • Kesalahan bertindak bagi pihak, mewakili atau membantu – Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya;
    (Subseksyen 87(1))


Kesimpulannya, hasrat kerajaan supaya semua pertubuhan belia didaftar di bawah Akta 668 bertujuan supaya kegiatan berpersatuan dikalangan generasi belia dapat diselaras dan dipantau oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia. Langkah ini juga perlu dalam membendung kegiatan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang oleh mana-mana organisasi termasuk organisasi yang berasaskan belia yang tidak berdaftar di bawah Akta 668 ini.

No comments:

Post a Comment