Ariff Shah Omar Shah (kiri) dan Rusli Ismail (dua dari kanan) bersama beberapa wakil pertubuhan belia daerah pada Majlis Mesyuarat Pertubuhan Tahunan Majlis Belia Daerah Timur Laut di Kompleks Belia Batu Uban, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 24 Jan. - Pertubuhan belia perlu diterajui oleh pemimpin yang bebas daripada unsur menjadikannya sebagai lubuk untuk mencari pengaruh atau sokongan politik.
Presiden Majlis Perpaduan dan Kebajikan Rakyat Pulau Pinang (MPKRPP), Datuk Ariff Shah Omar Shah berkata, mentaliti berkenaan bukan sahaja akan menghakis semangat kepimpinan muda tetapi merencatkan fungsi sesuatu pertubuhan belia.
Ini kerana katanya, peluang untuk berorganisasi akan dimonopoli oleh golongan yang berjuang untuk kepentingan peribadi sekali gus menyebabkan pertubuhan tersebut tidak mampu berfungsi dengan berkesan.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Pemikiran golongan belia tidak harus diracuni dan dicemari oleh ahli politik yang mementingkan diri dan bukannya berusaha memperkasakan golongan belia.
"Jika dibiarkan, pertubuhan belia hanya akan jadi alat dan boneka tanpa mampu mencapai apa-apa. Apa guna kalau kita ada banyak pertubuhan belia tetapi hanya seperti itu sahaja," katanya.
Ariff Shah berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat dan Perhimpunan Tahunan Majlis Belia Daerah Timur Laut kali ke-27 di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban di sini hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Timur Laut, Rusli Ismail.
Menurut Arif Shah, sekitar 1960-an dahulu pertubuhan belia dijadikan tapak utama untuk mencungkil bakat kepimpinan politik di kalangan generasi muda.
Tetapi menurut beliau, keadaan berbeza pada masa sekarang apabila pemimpin politik pula yang terjun ke dalam pertubuhan belia.
"Saya fikir pendekatan sekarang harus dikaji semula. Bukan kita mahu menolak apa yang ada sekarang ini tetapi kita harus kembali kepada pangkal dan asas.
"Pemimpin belia perlu digerakkan supaya aktif dan kemudiannya baru menyertai bidang politik tanah air. Dengan asas begini kita mampu melahirkan seorang pemimpin pelapis yang kuat, mantap dan berdisiplin," katanya.
No comments:
Post a Comment