MELAKA 5 Feb. - Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) mengambil tindakan proaktif menganjurkan kempen 'Jom Daftar Pengundi' bagi menarik golongan belia di seluruh negeri mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang.
Berkonsepkan slogan '1 Belia 1 Undi', lebih 180 peserta konvoi terlibat menggerakkan kempen di kawasan Parlimen Bukit Katil, Tangga Batu dan Kota.
Kira-kira 60 kereta terlibat dalam konvoi itu yang disertai pelbagai pertubuhan belia antaranya Gerakan Belia 4B (GB4B), Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Kelab Belia Bell Tamil (KBBT), Gabungan Belia Bersatu (GBB) dan Persatuan India Muda (MIYC).
Hasil dari kempen siri pertama itu, 602 belia telah berjaya didaftarkan sebagai pengundi di ketiga-tiga lokasi terlibat.
Pengerusi MGBD Melaka Tengah, Razak Abu Hassan berkata, kempen itu akan diadakan secara berterusan sebagai salah satu usaha pihaknya menyuntik kesedaran kepada golongan belia mengenai kepentingan menjadi pengundi ketika pilihan raya.
Katanya, usaha itu digerakkan ekoran laporan Jabatan Pendaftaran Negara yang menunjukkan ramai golongan belia masih belum mendaftar sebagai pemilih di mana daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah paling ramai di negeri ini yang belum berdaftar.
"Cadangan supaya semua rakyat negeri ini yang mencapai umur 21 tahun didaftar secara automatik kurang praktikal dilaksanakan buat masa kini kerana tanggungjawab mengundi sebenarnya memerlukan kesedaran belia itu sendiri.
"Belia yang belum mendaftar pengundi boleh menghubungi Sekretariat Jom Daftar Pengundi MGBD Melaka Tengah pada bila-bila masa kerana mungkin ada sebahagian belia terlupa dengan tanggungjawab mereka kepada negara dan kemungkinan maklumat kurang sampai kepada mereka," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment