Sunday, March 7, 2010

GPMS bantah hasrat KBS

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mac - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menentang hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan kerana mendakwa ia tidak selari dengan aspirasi bagi melahirkan aktivis belia yang berjiwa sukarela.

Presidennya, Jais Abd. Karim berkata, selain itu, fungsi pertubuhan baru itu juga nanti akan bertindih dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diiktiraf sebagai badan induk bagi menguruskan semua aktiviti berkaitan belia.

"Adalah pelik apabila kementerian bercadang menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia yang baru bagi menguruskan semua aktiviti berkaitan belia sedangkan pada masa yang sama kita telah mempunyai MBM.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan cuba meminggirkan MBM yang telah sekian lama menjadi peneraju kepada pertubuhan belia.

"Lebih membingungkan, ahli majlis perundingan ini bukan bergerak sukarela seperti kami dan NGO yang lain tetapi dibayar kementerian seolah-olah makan gaji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jais mendesak kementerian membatalkan hasrat menubuhkan majlis perundingan tersebut yang dijangka ditubuhkan secara rasmi selepas sambutan Hari Belia pada 31 Mei nanti.

Beliau mendakwa, penubuhan majlis perundingan itu bakal memberi implikasi negatif yang lain kepada MBM kerana dijangka antara 15 dan 30 peratus peruntukan kepada NGO berkenaan akan dipotong untuk disalurkan kepada Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan.

Mengulas hal yang berkaitan, Jais berkata keputusan tegas itu terpaksa diambil GPMS kerana KBS tidak telus dalam melaksanakan perancangan awal semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan.

"Dulu semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan, kementerian menjelaskan setiap ahli kelab itu yang berusia melebihi 21 tahun akan diserap ke dalam NGO belia sedia ada bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

"Tetapi sekarang kementerian tidak melakukan perkara tersebut sebaliknya berhasrat pula menubuhkan NGO belia baru dengan membuka keahlian kepada mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun," katanya.

Ditanya tindakan GPMS jika kementerian tetap dengan pendirian mahu meneruskan penubuhan NGO baru itu, Jais berkata, beliau bersama-sama NGO belia lain bergabung tenaga bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

No comments:

Post a Comment