KUALA LUMPUR 8 Jan. - Para perwakilan pertubuhan belia negara ini menyambut baik keputusan pemilihan ahli jawatankuasa kerja Majlis Belia Malaysia (MBM) sesi 2010-2012 dengan menyifatkannya sebagai golongan pemimpin yang boleh bekerja.
Rata-rata mereka yakin, kepimpinan yang diterajui oleh Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Mohamed Maliki Mohamed itu mampu membawa suara orang muda ke peringkat kepimpinan negara selain menarik lebih banyak penyertaan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, kepimpinan yang diberi mandat oleh perwakilan itu merupakan kepimpinan muda yang mempunyai karisma.
"Diharapkan di sebalik usia mereka yang muda, para pemimpin ini mampu bertindak lebih berani untuk bersuara mengenai isu-isu yang relevan dengan perkembangan semasa seperti perkauman dan keagamaan yang kian panas kini.
"MBM perlu berani dan tegas dalam menangani isu-isu seperti itu. Kita tidak mahu belia dipesongkan pemikirannya dan tidak lagi menjaga perpaduan kaum yang menjadi teras kekuatan negara," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan berkenaan.
Ditanya keyakinannya terhadap kebolehan barisan pemimpin itu, Jais meminta agar ahli MBM memberi masa untuk mereka membuktikan kemampuan.
"Kita perlu memberi ruang secukupnya kepada mereka. Usahlah bersikap prejudis dan yakinlah sepenuhnya terhadap kepimpinan yang telah kita pilih," katanya.
Sementara itu Presiden Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM), Low Eng Tack berharap barisan kepimpinan baru itu akan berusaha mendekati golongan muda dengan cara yang lebih efisien dan menarik.
"Belia hari ini sudah berbeza berbanding dahulu. Kita perlu kenal apa yang mereka minati dan mahukan agar mampu mendekati mereka.
"Diharapkan kita tidak lagi terikut-ikut dengan cara mendekati golongan muda secara melulu. Barisan kepimpinan ini terdiri dari mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan saya pasti ia akan banyak membantu dalam mendekati golongan muda," katanya yang memenangi jawatan Naib Presiden MBM.
Beliau dalam pada itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap pemilihan exco yang dilihat menyebelahi calon-calon Melayu.
"Diharapkan Presiden yang baru dilantik akan menunaikan janji dengan mengambil kaum lain sebagai exco lantikan. Saya pasti ia bukan masalah kerana beliau juga sudah berjanji untuk bersikap adil kepada semua kaum dalam pertubuhan ini," ujarnya.
Perwakilan Majlis Kelab Bell Tamil Malaysia, M. Kalaivani pula menaruh keyakinan terhadap kemampuan Mohamed Maliki menerajui pertubuhan belia terbesar negara itu secara adil dan saksama.
"Beliau tahu bagaimana untuk bekerja. Saya pasti beliau tiada masalah untuk memberi layanan sama rata kepada semua gabungan pertubuhan.
"Dibantu barisan kepimpinan bawahannya, saya rasa beliau mampu mentadbir MBM dengan baik," ujarnya.
Exco Majlis Belia Perak, Razaligh Hamzah pula menganggap perwakilan telah membuat keputusan tepat bagi memilih kepimpinan MBM kerana rata-rata mereka yang dipilih merupakan individu yang berpengalaman serta telah lama berada dalam MBM.
"Namun, saya harap agar jawatan yang diberi tidak dijadikan tiket untuk mereka bermegah-megah tanpa membuat kerja.
"Mereka seharusnya turun padang dan mendekati pertubuhan belia di setiap negeri untuk bertanya khabar dan memberi nasihat," katanya.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment