Sunday, March 7, 2010

Maliki Presiden baru MBM

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

rafie.azimi@utusan.com.my


MOHAMED Maliki Mohamed Rapiee (tiga dari kanan) bersama Mohd. Sukor Md. Yusof (empat dari kanan) pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Ke-58, di Kuala Lumpur, semalam. Turut bersama ialah (dari kiri) Mohd. Azidi Aziz, Abdul Karim Mohamad, Irmohizam Ibrahim dan Low Eng Tack.

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Presiden Majlis Belia Pulau Pinang, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee diisytiharkan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang baru setelah menang tanpa bertanding pada pemilihan ahli jawatankuasa kerja MBM Sesi 2010-2012 yang diadakan di sini hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menidakkan beberapa spekulasi sebelum ini yang mendakwa akan berlaku saingan sengit empat penjuru bagi merebut jawatan berkenaan.

Selain kerusi Presiden, lima lagi jawatan yang sepatutnya dipertandingkan iaitu Timbalan Presiden, Pengerusi Tetap dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Bendahari Kehormat dipilih secara kompromi.

Ini sekali gus memperlihatkan tidak ada sebarang pertandingan bagi jawatan itu. Hanya jawatan Naib Presiden dan Exco sahaja yang dipertandingkan.

“Ia menunjukkan kematangan individu yang berada di dalam MBM. Secara keseluruhannya kami mementingkan aspek perpaduan dan tidak mampu lagi untuk berdepan dengan perpecahan.

“Kami percaya pemimpin perlu menunjukkan tauladan yang baik dan itulah yang kami lakukan. Ia secara tidak langsung menyemarakkan hubungan efisien dan efektif antara kami, para pemimpin belia,” kata Maliki ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Presiden MBM.

Pada pemilihan itu, seramai 371 perwakilan daripada 40 pertubuhan belia terlibat dengan sesi pengundian yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Kerusi Timbalan Presiden dimenangi bekas Presiden Penaja Gerakan Belia 4B, Mohd. Shukor Md. Yusof.

Sementara itu, jawatan Naib Presiden diisi oleh tiga nama iaitu Bendahari Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Abdul Karim Mohamad, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Perhubungan Awam Persekutuan Pengakap Malaysia, Irmohizam Ibrahim dan Presiden Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM), Low Eng Tack.

Pemilihan kali ini turut mencatat sejarah sepanjang 58 tahun penubuhan MBM apabila buat pertama kalinya golongan wanita diberi peluang menjawat jawatan Pengerusi Tetap.

Ia diisi oleh calon dari Majlis Belia Kelantan, Rohani Abu Hassan manakala Pergerakan Pemuda Malaysia menerusi wakilnya, Ng Chin Long diberi tanggungjawab sebagai timbalan Rohani.

Jawatan Setiausaha Agung disandang wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd. Zaidi Aziz sementara jawatan Bendahari kehormat diserahkan kepada G. Pramasivan dari Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Shukor ketika ditemui berkata, barisan pemimpin kali ini menunjukkan kelainan apabila para pemimpin yang dipilih bukan terdiri daripada mereka yang memiliki latar belakang sebagai pemimpin politik.

Mengambil bekas Presiden, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Lenggong dan Datuk Seri Mohd. Khir Toyo, Ketua Pembangkang Selangor sebagai contoh, beliau memberitahu beliau dan Maliki merupakan individu yang bermula dari bawah dan telah lama merasai asam garam perjuangan MBM.

KUNJUNG HORMAT KEPIMPINAN BARU 4B KEPADA YB MENTERI BELIA DAN SUKAN

No comments:

Post a Comment