Wednesday, April 7, 2010

Barisan Exco 4B bersama YB Menteri Belia dan Sukan

Lawatan kerja YB. Menteri Belia dan Sukan ke Pejabat Gerakan Belia 4B Malaysia bersama kepimpinan baru 4B Malaysia di Bangsar Kuala Lumpur pada 6 April 2010

Monday, March 22, 2010

Seragam Koperat Baru KBS

Warga Kerja ROY menggunakan seragam baru baju koperat KBS untuk setiap hari Selasa dengan semangat juang harimau.

Sunday, March 7, 2010

Notis Pejabat Pendaftar

NOTIS MENGENAI TARIKH TUTUP PENDAFTARAN DI BAWAH AKTA PERTUBUHAN BELIA DAN PEMBANGUNAN BELIA 2007 BAGI PERTUBUHAN BELIA YANG SEDIA BERDAFTAR DI BAWAH JABATAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN (ROS)

Memaklumkan bahawa tarikh tutup pendaftaran di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] bagi pertubuhan belia yang sedia berdaftar di bawah ROS sepertimana diperuntukkan di bawah subseksyen 7(3) Akta 668 adalah pada 31 Mac 2010.

2. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang berkaitan memaklumkan kepada kesemua cawangan atau badan gabungan yang terbabit di bawah pertubuhan belia masing-masing supaya mengemukakan borang permohonan pendaftaran ke Pejabat ini sebelum tarikh tutup tersebut bagi mengelakkan pertubuhan belia terbabit diisytiharkan sebagai pertubuhan belia yang menyalahi undang-undang di bawah subseksyen 80(1)(b) Akta yang sama dan boleh dikenakan tindakan undang-undang akibat kegagalan untuk berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

3. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan menerusi telefon ke pejabat ini.

PENDAFTAR

GPMS bantah hasrat KBS

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mac - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menentang hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan kerana mendakwa ia tidak selari dengan aspirasi bagi melahirkan aktivis belia yang berjiwa sukarela.

Presidennya, Jais Abd. Karim berkata, selain itu, fungsi pertubuhan baru itu juga nanti akan bertindih dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diiktiraf sebagai badan induk bagi menguruskan semua aktiviti berkaitan belia.

"Adalah pelik apabila kementerian bercadang menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia yang baru bagi menguruskan semua aktiviti berkaitan belia sedangkan pada masa yang sama kita telah mempunyai MBM.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan cuba meminggirkan MBM yang telah sekian lama menjadi peneraju kepada pertubuhan belia.

"Lebih membingungkan, ahli majlis perundingan ini bukan bergerak sukarela seperti kami dan NGO yang lain tetapi dibayar kementerian seolah-olah makan gaji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jais mendesak kementerian membatalkan hasrat menubuhkan majlis perundingan tersebut yang dijangka ditubuhkan secara rasmi selepas sambutan Hari Belia pada 31 Mei nanti.

Beliau mendakwa, penubuhan majlis perundingan itu bakal memberi implikasi negatif yang lain kepada MBM kerana dijangka antara 15 dan 30 peratus peruntukan kepada NGO berkenaan akan dipotong untuk disalurkan kepada Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan.

Mengulas hal yang berkaitan, Jais berkata keputusan tegas itu terpaksa diambil GPMS kerana KBS tidak telus dalam melaksanakan perancangan awal semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan.

"Dulu semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan, kementerian menjelaskan setiap ahli kelab itu yang berusia melebihi 21 tahun akan diserap ke dalam NGO belia sedia ada bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

"Tetapi sekarang kementerian tidak melakukan perkara tersebut sebaliknya berhasrat pula menubuhkan NGO belia baru dengan membuka keahlian kepada mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun," katanya.

Ditanya tindakan GPMS jika kementerian tetap dengan pendirian mahu meneruskan penubuhan NGO baru itu, Jais berkata, beliau bersama-sama NGO belia lain bergabung tenaga bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

Cubaan pecah belahkan Felda – Majlis belia Felda

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab bagi membantah cubaan untuk memporak-perandakan gagasan Felda.

Presidennya, Anuar Abdul Manap berkata, dalam memorandum itu dinyatakan bahawa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), yang kononnya mewakili golongan belia, adalah pertubuhan tidak berdaftar dan cuba memecah-belahkan keharmonian warga Felda.

Beliau memberitahu pemberita di sini bahawa MBFM, yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sejak 1991 dan Pendaftar Pertubuhan Belia sejak tahun lalu, adalah wakil sah yang diberi mandat oleh 317 cawangan pertubuhan belia Felda di seluruh negara untuk mewakili golongan muda dan bukannya Anak.

"Dakwaan Anak bahawa mereka mempunyai hampir 1.5 juta ahli tidak benar kerana mereka tidak berdaftar, macam mana nak buktikan ahli mereka seramai itu?

Kami yang berdaftar ini pun hanya mempunyai 100,003 ahli dari kalangan belia berusia 15 hingga 40 tahun,” katanya.

Anuar berkata, kepimpinan MBFM yang baru akan bergerak lebih aktif bagi menyelesaikan isu-isu melibatkan generasi muda Felda melalui saluran yang betul. – Bernama

MGBD bantu kerajaan daftar pemilih

MELAKA 5 Feb. - Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) mengambil tindakan proaktif menganjurkan kempen 'Jom Daftar Pengundi' bagi menarik golongan belia di seluruh negeri mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang.


Berkonsepkan slogan '1 Belia 1 Undi', lebih 180 peserta konvoi terlibat menggerakkan kempen di kawasan Parlimen Bukit Katil, Tangga Batu dan Kota.

Kira-kira 60 kereta terlibat dalam konvoi itu yang disertai pelbagai pertubuhan belia antaranya Gerakan Belia 4B (GB4B), Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Kelab Belia Bell Tamil (KBBT), Gabungan Belia Bersatu (GBB) dan Persatuan India Muda (MIYC).

Hasil dari kempen siri pertama itu, 602 belia telah berjaya didaftarkan sebagai pengundi di ketiga-tiga lokasi terlibat.

Pengerusi MGBD Melaka Tengah, Razak Abu Hassan berkata, kempen itu akan diadakan secara berterusan sebagai salah satu usaha pihaknya menyuntik kesedaran kepada golongan belia mengenai kepentingan menjadi pengundi ketika pilihan raya.

Katanya, usaha itu digerakkan ekoran laporan Jabatan Pendaftaran Negara yang menunjukkan ramai golongan belia masih belum mendaftar sebagai pemilih di mana daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah paling ramai di negeri ini yang belum berdaftar.

"Cadangan supaya semua rakyat negeri ini yang mencapai umur 21 tahun didaftar secara automatik kurang praktikal dilaksanakan buat masa kini kerana tanggungjawab mengundi sebenarnya memerlukan kesedaran belia itu sendiri.

"Belia yang belum mendaftar pengundi boleh menghubungi Sekretariat Jom Daftar Pengundi MGBD Melaka Tengah pada bila-bila masa kerana mungkin ada sebahagian belia terlupa dengan tanggungjawab mereka kepada negara dan kemungkinan maklumat kurang sampai kepada mereka," katanya.

Pertubuhan belia bukan lubuk cari pengaruh politik

Ariff Shah Omar Shah (kiri) dan Rusli Ismail (dua dari kanan) bersama beberapa wakil pertubuhan belia daerah pada Majlis Mesyuarat Pertubuhan Tahunan Majlis Belia Daerah Timur Laut di Kompleks Belia Batu Uban, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 24 Jan. - Pertubuhan belia perlu diterajui oleh pemimpin yang bebas daripada unsur menjadikannya sebagai lubuk untuk mencari pengaruh atau sokongan politik.

Presiden Majlis Perpaduan dan Kebajikan Rakyat Pulau Pinang (MPKRPP), Datuk Ariff Shah Omar Shah berkata, mentaliti berkenaan bukan sahaja akan menghakis semangat kepimpinan muda tetapi merencatkan fungsi sesuatu pertubuhan belia.

Ini kerana katanya, peluang untuk berorganisasi akan dimonopoli oleh golongan yang berjuang untuk kepentingan peribadi sekali gus menyebabkan pertubuhan tersebut tidak mampu berfungsi dengan berkesan.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Pemikiran golongan belia tidak harus diracuni dan dicemari oleh ahli politik yang mementingkan diri dan bukannya berusaha memperkasakan golongan belia.

"Jika dibiarkan, pertubuhan belia hanya akan jadi alat dan boneka tanpa mampu mencapai apa-apa. Apa guna kalau kita ada banyak pertubuhan belia tetapi hanya seperti itu sahaja," katanya.

Ariff Shah berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat dan Perhimpunan Tahunan Majlis Belia Daerah Timur Laut kali ke-27 di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban di sini hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Timur Laut, Rusli Ismail.

Menurut Arif Shah, sekitar 1960-an dahulu pertubuhan belia dijadikan tapak utama untuk mencungkil bakat kepimpinan politik di kalangan generasi muda.

Tetapi menurut beliau, keadaan berbeza pada masa sekarang apabila pemimpin politik pula yang terjun ke dalam pertubuhan belia.

"Saya fikir pendekatan sekarang harus dikaji semula. Bukan kita mahu menolak apa yang ada sekarang ini tetapi kita harus kembali kepada pangkal dan asas.

"Pemimpin belia perlu digerakkan supaya aktif dan kemudiannya baru menyertai bidang politik tanah air. Dengan asas begini kita mampu melahirkan seorang pemimpin pelapis yang kuat, mantap dan berdisiplin," katanya.