Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my
MELAKA 13 Dis. - Semua persatuan belia telah diarah supaya menyelesaikan mesyuarat agung tahunan pemilihan ahli dan jawatankuasa baru yang melibatkan mereka di bawah usia 40 tahun selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, arahan itu selaras dengan pindaan terhadap Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara 2007 yang menetapkan setiap ahli dan pemimpin belia yang dilantik diwajibkan berusia di bawah 40 tahun.
Menurutnya, jika pemilihan itu tidak dilaksanakan segera, kementerian bimbang satu masa nanti persatuan-persatuan belia yang ada di negara ini tidak lagi relevan di kalangan golongan tersebut.
''Pada masa ini golongan belia tidak berminat untuk menyertai persatuan belia kerana masih menganggap persatuan itu bukan dipimpin oleh golongan berkenaan.
''Tetapi melalui akta yang telah digubal pada 2007, ahli dan pemimpin yang dipilih diwajibkan di kalangan mereka yang berusia bawah 40 tahun untuk menganggotai mana-mana persatuan belia.
''Kementerian tidak mahu melihat lagi nama persatuan belia tetapi ia dipimpin oleh orang tua," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam sempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Perhimpunan Belia Dunia (WAY) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery menegaskan, semua mesyuarat pemilihan pucuk pimpinan baru persatuan belia mesti diselesaikan tahun ini.
''Kementerian mengharapkan semua persatuan belia mematuhi arahan yang telah ditetapkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan yang ingin melihat golongan muda menjadi pemimpin," katanya
Tambahnya, beliau faham mungkin ada persatuan belia menghadapi sedikit masalah kerana berlakunya peralihan kuasa secara mengejut apabila pemimpin lama akan mengosongkan jawatan untuk diisi oleh orang muda.
''Peralihan kuasa ini memang memerlukan sedikit pengalaman dan tunjuk ajar tetapi apa yang penting adalah untuk membina keyakinan diri kepada golongan ini untuk memimpin sebuah organisasi yang besar," katanya.
Justeru kata beliau, barisan kepimpinan daripada golongan muda amat diperlukan kerana kerajaan hendak merancang masa depan yang lebih cerah kepada golongan tersebut.
Menurutnya, pada masa ini banyak isu-isu yang dikaitkan dengan golongan belia seperti ekonomi, kesihatan, pekerjaan dan terbaru masalah perubahan iklim yang perlu diharungi.
''Kita hendak tengok apa pandangan golongan muda mengenai alam sekitar, soal demokrasi, soal hak bersuara tentang kerajaan yang baik dan sebagainya," kata beliau
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment