Monday, December 14, 2009

KONVENSYEN IMPAK AKTA 668 TERHADAP PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN PERTUBUHAN BELIA DI MALAYSIA

Konvensyen telah diadakan pada 12 hingga 13 Disember 2009 di Hotel Grand Bluewave Shah Alam Selangor yang melibatkan penyertaan seramai 180 orang terdiri dari para pemimpin pertubuhan belia seluruh negara dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Jabatan Peguam Negara, Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS), KBS, IPT dan MBM. Konvensyen adalah anjuran Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia (IPPBN) dan Majlis Belia Malaysia.

Sebanyak 3 kertas kerja telah dibentangkan dan bengkel serta sidang pleno yang menghasilkan resolusi konvensyen. TKSU (P) Tuan Borhan Dollah telah menyempurnakan Majlis Penutup konvensyen mewakili YB. Menteri belia dan Sukan.

Antara lain tujuan konvensyen ialah untuk mendapatkan maklum balas tentang impak pelaksanaan Akta 668 keatas pengurusan pertubuhan belia dan cadangan-cadangan bagi menambak baik pelaksanaan Akta ini.






RESOLUSI KONVENSYEN

MEMOHON SUPAYA PROSES PENDAFTARAN PENUBUHAN CAWANGAN BARU SESEBUAH PERTUBUHAN DIPERCEPATKAN TANPA PERLU MELALUI PENGESAHAN PERTUBUHAN INDUK PERTUBUHAN YANG BERKENAAN.


2. MEMOHON PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA MEMBUAT SUSULAN DAN MENGADAKAN PERBINCANGAN DENGAN MANA-MANA PERTUBUHAN BELIA YANG MASIH BELUM MENDAFTAR SEMULA PEERTUBUHAN MEREKA .

3. MENCADANGKAN KBS MEMBUAT SEMAKAN ATAU KAJIAN TERHADAP ‘CORE BUSINESS’ PERTUBUHAN BELIA SUPAYA AKTIVITI ATAU PROGRAM DILAKSANAKAN SELARAS DENGAN DASAR PEMBANGUNAN BELIA.

4. MENCADANGKAN DI SAMPING PEMBERIAN GANJARAN KEWANGAN, PEMENANG ANUGERAH BELIA NEGARA DIBERIKAN GANJARAN DALAM BENTUK LAIN SEPERTI PEMBERIAN BIASISWA DAN DILANTIK SEBAGAI DUTA BELIA .

5. MENCADANGKAN PENGAGIHAN PERUNTUKAN BANTUAN PENGUPAYAAN KEPADA BADAN-BADAN GABUNGAN MAJLIS BELIA MALAYSIA, NEGERI DAN DAERAH HENDAKLAH DIBERIKAN SECARA TERUS OLEH KBS.

6. KEPIMPINAN LAMA YANG MELEPASKAN KEPIMPINAN MEREKA MASIH PERLU MENERUSKAN PERHUBUNGAN DAN MEMBERIKAN GARIS PANDUAN SERTA KHIDMAT NASIHAT KEPADA KEPIMPINAN MUDA YANG MENGAMBIL ALIH KEPIMPINAN PERTUBUHAN.

7. MEMOHON YB MENTERI BELIA DAN SUKAN MENETAPKAN SATU GARIS PANDUAN YANG SPESIFIK MENGENAI TAKRIF HAD UMUR KEAHLIAN 40 TAHUN KE BAWAH IAITU SAMA ADA DITAKRIFKAN MENGIKUT TARIKH LAHIR , AWAL PERMULAAN TAHUN, AKHIR PENGHUJUNG TAHUN DAN LAIN-LAIN.

8. MENCADANGKAN KEPIMPINAN PERTUBUHAN BELIA MELEBIHI UMUR 40 TAHUN DIBERIKAN PENGHARGAAN MELALUI KAEDAH ; PENUBUHAN ALUMNI DAN PENUBUHAN MAJLIS-MAJLIS YANG DAPAT MEMBERI SUMBANGAN DAN NASIHAT SECARA LANGSUNG DAPAT MENUNJUKKAN PENGHARGAAN TERHADAP KEPIMPINAN MEREKA.

9. MEMINTA PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA MEMPERTINGKATKAN LAGI SISTEM PENYAMPAIAN DENGAN LEBIH CEKAP DAN BERKESAN.

10. MENCADANGKAN SUPAYA CAWANGAN PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA DIWUJUDKAN DI SETIAP NEGERI.

11. MEMINTA PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA SENTIASA MEMATUHI PIAGAM PELANGGAN DALAM MEMPROSES PERMOHONAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN BELIA.

12. MENCADANGKAN AGAR PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA MEWUJUDKAN SIJIL BERGERAK SEMENTARA BAGI SETIAP PERSATUAN YANG SEDANG DALAM TEMPOH MENDAPATKAN SIJIL PERSATUAN.

Sunday, December 13, 2009

Pemimpin belia wajib bawah 40 tahun

MELAKA - Semua persatuan belia di negara ini diminta merealisasikan segera peralihan pemimpin baru kepada belia berusia bawah 40 tahun sebelum akhir tahun ini.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, peralihan itu sejajar dengan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara 2007 di mana setiap anggota dan pemimpin belia yang dilantik memegang jawatan diwajibkan berusia bawah 40 tahun.

"Saya mengharapkan sepenuhnya semua persatuan belia benar-benar dapat merealisasikan hasrat Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara yang baru itu sebelum penghujung tahun ini.

"Melaksanakannya bukan perkara yang baru kerana kita mesti sejajar dengan definisi belia dunia. Kalau di peringkat dunia mereka menganggap belia itu berusia bawah 35 tahun tetapi kita agak berlembut dan tetapkan usia 40 tahun ke bawah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-60 World Assembly of Youth (WAY) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Sumber Berita : Kosmo

Selesaikan mesyuarat agung

Oleh AMRAN MULUP


pengarang@utusan.com.my

MELAKA 13 Dis. - Semua persatuan belia telah diarah supaya menyelesaikan mesyuarat agung tahunan pemilihan ahli dan jawatankuasa baru yang melibatkan mereka di bawah usia 40 tahun selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, arahan itu selaras dengan pindaan terhadap Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara 2007 yang menetapkan setiap ahli dan pemimpin belia yang dilantik diwajibkan berusia di bawah 40 tahun.

Menurutnya, jika pemilihan itu tidak dilaksanakan segera, kementerian bimbang satu masa nanti persatuan-persatuan belia yang ada di negara ini tidak lagi relevan di kalangan golongan tersebut.

''Pada masa ini golongan belia tidak berminat untuk menyertai persatuan belia kerana masih menganggap persatuan itu bukan dipimpin oleh golongan berkenaan.

''Tetapi melalui akta yang telah digubal pada 2007, ahli dan pemimpin yang dipilih diwajibkan di kalangan mereka yang berusia bawah 40 tahun untuk menganggotai mana-mana persatuan belia.

''Kementerian tidak mahu melihat lagi nama persatuan belia tetapi ia dipimpin oleh orang tua," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam sempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Perhimpunan Belia Dunia (WAY) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery menegaskan, semua mesyuarat pemilihan pucuk pimpinan baru persatuan belia mesti diselesaikan tahun ini.

''Kementerian mengharapkan semua persatuan belia mematuhi arahan yang telah ditetapkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan yang ingin melihat golongan muda menjadi pemimpin," katanya

Tambahnya, beliau faham mungkin ada persatuan belia menghadapi sedikit masalah kerana berlakunya peralihan kuasa secara mengejut apabila pemimpin lama akan mengosongkan jawatan untuk diisi oleh orang muda.

''Peralihan kuasa ini memang memerlukan sedikit pengalaman dan tunjuk ajar tetapi apa yang penting adalah untuk membina keyakinan diri kepada golongan ini untuk memimpin sebuah organisasi yang besar," katanya.

Justeru kata beliau, barisan kepimpinan daripada golongan muda amat diperlukan kerana kerajaan hendak merancang masa depan yang lebih cerah kepada golongan tersebut.

Menurutnya, pada masa ini banyak isu-isu yang dikaitkan dengan golongan belia seperti ekonomi, kesihatan, pekerjaan dan terbaru masalah perubahan iklim yang perlu diharungi.

''Kita hendak tengok apa pandangan golongan muda mengenai alam sekitar, soal demokrasi, soal hak bersuara tentang kerajaan yang baik dan sebagainya," kata beliau