Thursday, June 18, 2009

Pemimpin perlu dengar 'suara' golongan belia

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pemimpin-pemimpin negara anggota Komanwel perlu mendengar 'suara' golongan belia berhubung apa jua isu kerana mereka mewakili salah satu segmen masyarakat terbesar bagi sesebuah negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu wajar diberikan tumpuan kerana dalam era serba moden ini, golongan itu amat prihatin terhadap isu-isu yang timbul.

''Bagi saya, pendapat mereka harus didengar kerana golongan itu mungkin lebih memahami satu-satu isu yang berlaku daripada orang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Forum Belia sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel (CCEM) Ke- 17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Saifuddin berkata, selain 'suara' mereka, peranan belia juga perlu diiktiraf oleh pihak kerajaan kerana golongan itu juga bertanggungjawab membangunkan negara.

''Dalam konteks yang lebih kecil, kita boleh katakan bahawa kepimpinan universiti adalah antara pihak yang perlu mengambil serius tentang perkara ini kerana sebahagian besar pelajar di institusi pengajian tinggi adalah dalam kalangan belia," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya satu platform tetap ditubuhkan di peringkat Pertubuhan Komanwel supaya isu belia di kalangan ahlinya dapat dibincangkan secara lebih berpusat.

Selain itu, beliau berkata, kewujudan platform itu juga akan memudahkan kerjasama antara negara ahli dalam semua bidang berkait dengan golongan berkenaan.

No comments:

Post a Comment